Tuesday 31 March 2015

DIA PENGANTINKU

TERGESA-GESA Aimi Najwa memasuki Karnival Pengantin di PWTC. Setengah jam lagi dia perlu berada di atas pentas untuk majlis pembukaan yang akan dirasmikan oleh Datuk Bandar. Dia dapat merasakan kemarahan kakaknya, Juhana, sudah meledak. Aimi Najwa mengutuk diriya sendiri yang terlewat bangun daripada tidur. Usai solat subuh tadi dia tertidur semula kerana badannya terasa amat letih. Ini semua gara-gara dia shopping sakan dengan Haliza semalam.

Sepatutnya hari minggu begini dia sendiri maklum bahawa bandar raya Kuala Lumpur terlalu sibuk dengan pelbagai ragam manusia. Apatah lagi dia terpaksa bersesak di dalam perut LRT untuk datang ke sini memandangkan dia masih belum mempunyai kereta. Perjalanan dari Cheras hingga ke PWTC cukup memenatkanya kerana dia terpaksa berdiri sepanjang perjalanannya itu.

Melilau mata Aimi Najwa mencari booth Gold Wedding milik Juhana. Dia membolosi orang ramai yang berada di situ. Pening juga kepalanya mencari booth Gold Wedding. Maklum sajalah, banyak butik pengantin yang memasuki pertandingan karnival pengantin musim ini. Masing-masing mahu menunjukkan busana pengantin dan pelamin yang anggun. Gold Wedding pula memasuki karnival pengantin tahun ini untuk kali kedua.

Aimi Najwa mula mengeluh apabila kelibat Juhana dan abang iparnya, Nazri, tidak dapat dicari. Dia sepatutnya datang ke sini semalam, membantu Juhana dan Nazri menyiapkan booth mereka. Ini tidak, dia begitu sibuk untuk keluar beli-belah dengan Haliza. Kalau tidak, tidak perlulah dia bersusah payah begini.

Dia tersentak apabila terasa tangannya ditarik oleh seseorang. Aimi Najwa berpaling. Terkejut bukan kepalang dia apabila mendapati orang itu adalah kakaknya. Perlahan-lahan senyuman dihadiahkan untuk Juhana bagi meredakan kemarahan kakaknya itu.

 "Kenapa lambat? Aimi dah janji dengan akak nak datang awal, kan? Aimi orang yang paling penting di atas pentas tu tau! Aimi dengan Rizal terpilih untuk duduk di kerusi pengantin dan Datuk Bandar akan menepung tawar kamu berdua. Jangan malukan kakak pula." Panjang lebar Juhana mengomel.

 "Sorrylah, Kak Ju. Aimi mintak maaf banyak-banyak. Aimi tertidur." Aimi Najwa mengakui kesilapannya. Mujurlah ketukan bertalu-talu daripada uminya di luar pintu bilik telah berjaya mengejutkannya. Dan apabila terjaga, dia begitu terkejut melihat missed call yang bertalu-talu daripada Juhana.

 Tanpa membuang masa, mereka berdua melangkah ke booth Gold Wedding. Aimi Najwa menoleh ke arah sepupunya, Rizal, yang sudah bersiap dengan busana pengantin. Agak kacak sepupunya itu! Aimi Najwa tersenyum.

Sebentar lagi dia dan Rizal akan bergandingan di atas pentas untuk majlis pembukaan karnival pengantin. Rizal mengangkat kening ke arahnya. Aimi Najwa faham akan maksud sepupunya itu. Pasti sebelum dia tiba di sini, orang lain sudah merungut menanti dia yang tidak muncul-muncul. Sebuah senyuman yang manis dilemparkan untuk sepupunya itu.

"Rohani, cepat siapkan Aimi. Kita dah tak ada masa ni," laung Juhana kepada pembantu mekapnya.

"Baik!" sahut Rohani.

Tanpa membuang masa dia menyuruh Aimi Najwa mengenakan gaun pengantin sebelum wajah Aimi Najwa dicalit dengan mekap. Aimi Najwa hanya menurut tanpa membantah. Cepat-cepat Aimi Najwa menuju ke bilik persalinan. Dia tahu yang dia sudah kesuntukan masa. Dia mengutuk dirinya sendiri yang sudah lewat tiba dan telah menyusahkan semua orang. Walaupun dia menerima tawaran untuk menjadi model pengantin secara paksa daripada Juhana, perasaan bersalah tetap wujud dalam dirinya. Dia harus membalas jasa Juhana kerana kakaknya itu telah menyelamatkan prestasi kerjanya.

Sebaik mengenakan gaun pengantin tergesa-gesa, Aimi Najwa menuju ke arah Rohani. Terus dia duduk di hadapan Rohani, sebelum sempat gadis yang muda setahun daripadanya itu bersuara, meminta dia duduk di situ. Rohani hanya tersenyum.

"Rambut Aimi nanti biar akak yang dandankan. Dah siap mekap nanti panggil akak tahu. Mekap simple saja. Kita dah kesuntukan masa ni," pesan Juhana.

Dengan tangkas tangan Rohani membedakkan wajah gebu Aimi Najwa. Masa yang semakin suntuk ini harus diguna dengan baik. Sekali-sekala hatinya memuji kecantikan wajah adik majikannya. Sedikit pun tiada cacat celanya. Hidung mancung kecil Aimi Najwa menampakkan dia seorang yang cukup sempurna.

Sekali-sekala Juhana datang menjengah mereka. Bimbang dengan kesuntukan masa yang ada. Orang ramai semakin memenuhi ruang legar di dewan PWTC ini. Apatah lagi apabila suara pengacara majlis menyebut nama Datuk Bandar yang akan tiba tidak lama lagi. Juhana semakin bimbang.

"Ani, macam mana ni?"

"Sikit lagi, Kak Ju," ucap Rohani dengan cemas tetapi masih berhati-hati mengenakan mekap untuk Aimilia.

"Cepat sikit, Ani. Akak bimbang nanti kita tak sempat." Kali ini Juhana semakin menggelabah. Sekali-sekala kepalanya dipanjangkan ke arah pentas hadapan. Timbul rasa bersalah di hati Aimi Najwa.

"Dah siap, akak!"

"Hah, dah?" Tanpa membuang masa terus Juhana mendandan rambut Aimi Najwa yang keperang-perangan semula jadi itu. Sambil itu dia mengomel kepada adiknya yang datang lambat ke majlis perasmian pada hari ini.

Aimi Najwa hanya diam tanpa sepatah kata. Dia faham kakaknya tidak suka membuat kerja dalam keadaan terdesak begini.

"Okey, siap. Macam mana, Ani?" tanya Juhana sebaik sahaja selesai mendandan rambut Aimi Najwa. Itu pun dandanan yang amat ringkas. Bimbang jika adiknya tidak sempat naik ke pentas nanti. Sekali-sekala matanya memandang jauh ke arah pentas dengan perasaan bimbang.

 "Cantik, kak," beritahu Rohani sambil mengangkat ibu jari.

Aimi Najwa hanya tersenyum mendengar jawapan Rohani. Terasa amat lucu dengan gelagat gadis manis itu.

Suara pengacara yang bergema memeranjatkan Juhana sekali lagi. Datuk Bandar sudah pun tiba untuk merasmikan majlis karnival pengantin sebentar lagi. Juhana semkain gelisah.

 "Mana Rizal?!" pekik Juhana. Kegusaran jelas terbayang pada raut wajahnya apabila melihat Rizal tiba-tiba tiada di situ.

 "Rizal dah berada di belakang pentas, kak," beritahu Rohani sambil melirik ke arah Aimi Najwa. Walaupun dandanan rambut Aimi Najwa amat ringkas tapi adik majikannya itu tetap nampak jelita.

 "Okey, Aimi, kamu ingat kan rehearsal yang Kak Ju ajarkan kamu minggu lepas. Lepas semua model pengantin lain naik, baru kamu dengan Rizal naik bergandingan, posing ke depan lepas tu baru duduk atas pelamin tau!" Tegas Juhana, sekali mengingatkan adiknya.

 Cepat-cepat Aimi Najwa mengangguk. Tanpa membuang masa terus dia bangun, menuju ke belakang pentas. Kemudian dituruti oleh Juhana dan Rohani, ke depan pentas untuk menyaksikan acara pembukaan karnival pengantin yang akan dirasmikan oleh Datuk Bandar sebentar lagi.

 Juhana dan Rohani mengambil tempat duduk di barisan kedua dari hadapan. Juhana berharap pengunjung ke karnival pengantin tahun ini kagum dengan pakaian pengantin dari butiknya walaupun ini bukanlah satu pertandingan. Pertandingan model pengantin yang sebenar akan diadakan pada malam ini, tetapi sayang, Butik Gold Wedding tidak mengambil bahagian dalam acara tersebut disebabkan Aimi Najwa tidak mahu menonjolkan dirinya di atas pentas. Malah, Juhana sendiri tidak sempat mencari model yang lain. Mahu disuruh Rohani, Rohani juga sama seperti adiknya. Pemalu!

Apabila teringatkan adiknya yang terpaksa menerima ajakannya, Juhana tersenyum sendirian. Pembukaan perasmian karnival pengantin ini pun diterima oleh Aimi Najwa disebabkan didesak oleh Juhana. Itu pun apabila dia meminta pertolongan Juhana untuk menghantar fail dokumen kerjanya yang tertinggal di rumah tempoh hari.

Pada ketika itu, Aimi Najwa amat memerlukan pertolongan Juhana kerana maklumat dokumen itu akan dibentangkan dalam minit menyuarat Lembaga Pengarah. Sebagai setiausaha Datuk Syed Alwi, dia seharusnya lebih peka dan bersiap lebih awal sebelum sesuatu mesyuarat dimulakan. Mujurlah sewaktu dia menelefon Juhana, kakaknya itu baru sahaja mahu ke Butik Gold Wedding dan kebetulan pula laluan ke Gold Wedding memang melalui jalan ke tempat kerja Aimi Najwa.

Sepuluh minit mesyuarat hendak dimulakan, barulah Juhana tiba dengan fail dokumen penting itu. Kalau Aimi Najwa sendiri pulang mengambilnya, alamatnya pasti dia terlewat berada dalam mesyuarat dan pasti akan dimarahi Datuk Syed Alwi. Disebabkan itulah Aimi Najwa terpaka menerima lamaran Juhana untuk menjadi model pembukaan Karnival Pengantin ini bagi membalas jasa kakaknya itu.

 Juhana tersentak apabila bahunya dicuit kasar oleh seseorang. Segera dia berpaling. Terkejut dia apabila suaminya, Nazri, duduk tercanggung di antara dia dan Rohani supaya tidak menghalang orang lain yang berada di belakangnya menonton pertunjukan yang sedang berlangsung.

 "Abang! Majlis dah bermula ni, pergilah cari tempat duduk di belakang sana. Malulah orang tengok abang macam ni," beritahu Juhana separuh berbisik.

 "Kasut!"

 Terbeliak mata Juhana dan Rohani apabila melihat kasut kaca putih pengantin perempuan di tangan Nazri.

 "Aimi Najwa!" Juhana menjerit kecil.



DI atas pentas Aimi Najwa mula bergaya dalam gelabah. Dia terpaksa menahan malu apabila terpaksa berkaki ayam. Mujurlah sewaktu dia mahu naik ke pentas, Rizal sempat menegur sandal yang dipakainya. Terkejut bukan kepalang. Dalam keadaan panik, cepat-cepat sandalnya ditinggalkan di anak tangga belakang pentas. Mahu ke tempat kakaknya, sudah terlambat kerana gilirannya bersama Rizal sudah tiba. Mahu tidak mahu dia terpaksa berkaki ayam. Masakan dia mahu memakai sandal untuk bergaya di atas pentas. Tentulah penonton akan ketawa.

Wajahnya terus merona kemerahan sebaik sahaja matanya memandang ke arah penonton yang menyaksikan dia di atas pentas. Hatinya berdoa agar tiada sesiapa yang memandang ke kakinya yang tanpa kasut pengantin. Tetapi itu adalah sesuatu yang amat mustahil! Dan dari atas pentas dia dapat melihat Juhana, Nazri dan Rohani yang melopong ke arahnya. Hati Aimi Najwa mula berbaur geram!