Wednesday 1 April 2015

DIA PENGANTINKU



 "Aimi!" Terjerit Juhana apabila melihat adiknya bergaduh dengan seorang lelaki yang berada tidak berapa jauh di belakang. Segera Juhana bangkit dan meninggalkan suaminya di meja makan.

 "Awak ni buta ke?! Tak nampak ke saya tengah jalan ni?" marah Aimi Najwa sambil memegang bajunya yang basah terkena jus oren.

 "Aimi, kenapa ni?" soal Juhana dengan cemas apabila melihat adiknya mengamuk begitu. Mujurlah pada waktu itu tidak ramai pengunjung di restoran ini.

 Lelaki yang berkot hitam kemas yang masih memegang gelasnya hanya terkaku di hadapan Aimi Najwa kerana terkejut dimarahi gadis di hadapannya, seperti singa yang kelaparan. Sebenarnya dia tidak sengaja menumpahkan air pada baju gadis ini. Sebentar tadi dia mahu bertukar tempat apabila rakannya yang berada di sebelah meja menegurnya. Disebabkan dia teruja kerana sudah lama tidak bertemu rakan wanitanya itu, terus dia bangun tanpa memandang ke arah lain, sehinggalah berlaku insiden yang tidak disengajakan ini.

 "I'm sorry," ucap lelaki itu perlahan, masih lagi terkaku dengan kegarangan gadis di hadapannya. Seketika hatinya memuji kecantikan gadis ini dan seketika hatinya menyindir kegarangan gadis ini.

 "Kenapa ni?"

Muncul seorang gadis berpakaian tanpa lengan dan skirt separas lutut. Lengan lelaki itu dipaut sesuka hatinya. Lelaki itu kelihatan terkejut dengan tindakan rakaannya yang drastik itu. Namun dibiarkan saja kerana dia sedang berhadapan dengan gadis yang cukup garang. Situasi ini mejengkelkan hati Aimi Najwa.

 "Lain kali kalau nak jalan tu, tengoklah kiri kanan dulu. Ni tak main redah saja." Aimi Najwa melontarkan kemarahannya lagi.

 "Aimi, sudahlah tu," pujuk Juhana. Dia sebenarnya tidak suka adiknya berkelakuan begini di tempat umum dan dia tahu Aimi Najwa memang mudah melenting.

 "Hei, you ni tak faham bahasa ke? Kan my friend dah minta maaf pada you tadi!" bela gadis yang berpakaian seksi di sebelah lelaki itu.

 Terbeliak mata Aimi Najwa apabila teman wanita lelaki itu menengkingnya tiba-tiba. Membuatkan hatinya semakin mendidih.

"Yang awak nak menyampuk urusan saya ni apa hal? Ni antara saya dengan mamat nilah!" Aimi Najwa mula melenting apabila ada orang lain mula mencampuri urusannya.

Terkejut Juhana mendengar tengkingan adiknya kepada teman wanita lelaki itu. Tangan adiknya mula ditarik agar tidak meneruskan pergaduhan ini. Tapi Aimi Najwa masih tidak mahu berganjak.

 "Enough. Biar I yang settlekan semua ni," bisik lelaki itu kepada rakan wanitanya tapi masih lagi dapat didengar oleh Aimi Najwa. Dia sebenarnya tidak selesa dengan kekecohan yang berlaku. Apatah lagi sudah ada mata-mata yang memandang mereka.

 Seketika lelaki itu menyeluk saku seluarnya. Dikeluarkan beberapa keping wang kertas 50 ringgit kepada Aimi Najwa. "Ambik wang ni sebagai ganti baju awak yang terkena jus tadi."

 Terlopong Aimi Najwa apabila wang itu dihulurkan kepadanya. Hatinya semakin panas. Dirasakan lebih panas daripada tengkingan teman wanita lelaki itu sebentar tadi. Dia merasakan lelaki di hadapannya cuba menjatuhkan harga dirinya di hadapan teman wanitanya. Ego sekali lelaki ini. Mudah sahaja menyelesaikan masalah dengan wang.

 "Hei! Tolong sikit. Saya ni bukannya peminta sedekah tahu. Awak ingat saya ni tak ada duit ke?!"

 "Kalau you tak nak duit, sudahlah. Tak payah nak kecoh-kecoh kat sini. You ingat restoran ni bapak you punya ke?" sampuk teman wanita lelaki itu lagi, seperti tidak berpuas hati.

Lelaki di sebelahnya pula tercengang apabila tiba-tiba rakan wanitanya itu menyampuk.

 "Eh, perempuan. Kau cakap baik-baik sikit. Teman lelaki kau ni dah kotorkan baju aku tahu tak! Yang kau nak sibuk dalam urusan aku ni apa hal?"

 "Aimi! Dahlah tu. Malu orang tengok. Mari kita balik!" Juhana sedikit menjerit apabila melihat Aimi Najwa mula semakin keras kepala. Malu rasanya apabila ada mata memandang ke arah mereka berempat.

 "Mana boleh, Kak Ju. Orang macam ni kena ajar cukup-cukup!"

 "Akak malulah macam ni, Aimi. Malu orang tengok. Marilah kita balik," pujuk Juhana lagi.

 "Ooo... jadi ni adik-beradiklah ya. Erm, elok sangat bawa adik you ni beredar segera dari sini. Mengganggu ketenteraman orang saja," perli wanita itu lagi.

Lelaki yang melanggar Aimi Najwa tadi mula gelisah dengan sikap temannya yang mula mencampuri masalahnya dengan Aimi Najwa.

 "Hei, perempuan! Jaga sikit mulut kau tu ya. Kau tu yang suka menyampuk urusan orang!" Tiba-tiba kemarahan Aimi Najwa semakin meledak.

 "Maya, dahlah. Biar I yang settlekan semua ni. Ni semua salah I," beritahu lelaki itu dengan rasa tidak senang hati apabila teman wanitanya turut campur dalam masalahnya dengan gadis garang dihadapannya. Dalam masa yang sama dia mula rimas dengan kegarangan Aimi Najwa. Tangannya yang dipaut Maya tadi ditarik keluar.

Maya sedikit terkilan.

 Tiba-tiba datang pengurus restoran untuk cuba meleraikan pergaduhan mereka.

Juhana semakin gelisah. Rasa menyesal pula dia membicarakankan soal jodoh kepada adiknya tadi. Kalau tidak tentu Aimi Najwa tidak akan berubah topik untuk ke tandas. Dan insiden seperti ini tidak akan berlaku. Tapi semua ini bukan boleh dijangkanya.

 "Tolong jangan buat bising di sini, encik, cik. Saya mohon tolong selesaikan masalah ini di luar. Pergaduhan saudara-saudari sekalian mengganggu pelanggan di sini. Saya tak nak pelanggan lain rasa terganggu," mohon pengurus restoran itu dengan resah.

 "Maafkan saya. Ya, kami akan beredar dari sini. Saya minta maaf sebab menimbulkan kekecohan di sini," beritahu lelaki yang telah menumpahkan jus oren ke atas baju Aimi Najwa sebentar tadi.

 "Cik, saya minta maaf banyak-banyak. Saya tahu saya salah. Maafkan saya atas kesalahan yang tidak saya sengajakan tadi," mohon lelaki itu lagi.

 "Hah, memang salah awak pun. Lain kali jalan guna mata!"

 Telinga lelaki itu mula panas dengan tengkingan Aimi Najwa terhadapnya. Bukan dia tidak mahu meminta maaf kepada gadis ini. Sebelum dia membuka mulut memohon maaf atas kesilapannya, terus Aimi Najwa memarahinya membabi buta. Tidak faham dia dengan sikap wanita masa kini.

 "Aimi, dah!" Kali ini Juhana sudah hilang sabar dengan adiknya. Dengan kasar tangan Aimi Najwa ditarik dengan kuat.

Hampir terjatuh Aimi Najwa dengan tindakan kakaknya itu. Cepat-cepat dia mengimbangi badannya. "Kak Ju, lepaslah. Sakit tangan Aimi ni."

 Juhana langsung tidak mnghiraukan permintaan adiknya. Dia mahu cepat-cepat membawa adiknya keluar dari restoran ini. Baginya Aimi Najwa sudah melampau.

 "Abang, jom keluar," beritahu Juhana sebaik sahaja dia tiba dekat dengan suaminya. Pegangan tangan Juhana yang kuat pada lengan Aimi Najwa telah berjaya membawa adiknya keluar dari restoran itu.

Nazri yang sudah faham dengan situasi itu, terus membayar harga makanan tanpa banyak soal.

 "Kak Ju, sakitlah tangan Aimi ni!" laung Aimi Najwa setelah mereka berada di luar restoran.

Segera tangan Aimi Najwa dilepaskan oleh kakaknya. "Hah, tahu pun sakit. Yang Aimi suka cari pasal dengan lelaki tadi tu apasal? Tak pasal-pasal pengurus restoran tu datang leraikan pergaduhan tadi. Aimi tak malu ke orang lain tengok?"

 "Dia yang cari masalah dengan Aimi dulu. Dia dah kotorkan baju Aimi ni."

 "Dia kan tak sengaja. Kan dia dah minta maaf pada Aimi tadi."

 "Yalah, tapi yang paling Aimi sakit hati, ada ke patut dia bagi Aimi duit untuk gantikan baju Aimi yang dah kotor ni. Nak-nak bila girlfriend dia tu masuk campur. Meluat Aimi tengok."

 "Meluat ke cemburu?" Dalam ketegangan Juhana cuba menyakat adiknya itu.

Aimi Najwa mencebik dengan usikan kakaknya. Masakan dia mahu cemburu dengan lelaki yang tidak dikenalinya.

  Dan sewaktu Nazri mendekati mereka, lelaki tadi turut keluar bersama teman wanitanya tadi. Sempat lelaki itu menghadiahkan senyuman buat Aimi Najwa manakala teman wanita yang berada di sebelahnya hanya menjeling ke arahnya dengan pandangan tajam.

Aimi Najwa merasakan senyuman lelaki tadi adalah sindiran buatnya. Baru sahaja dia mahu membuka mulut, niatnya itu dihalang oleh Juhana. Aimi Najwa semakin radang.





1 comment:

  1. Welcome to JT Rewards - Jammyhub
    Get 통영 출장마사지 the best welcome bonus codes, 경기도 출장안마 promotions and offers. Try them online 바카라 or download 서귀포 출장샵 this app for free. 오산 출장샵 JT Rewards - Casino for the USA.

    ReplyDelete